
Semua orang mahu jadi lebih baik. Tidak ada siapa pun di dunia ini akan berpuas hati dengan satu-satu keadaan itu untuk selama-lamanya. Kita sentiasa mahukan pendapatan yang lebih baik, kesihatan yang lebih baik dan hubungan yang lebih baik.
Namun dalam keinginan untuk berubah menjadi lebih baik, terdapat tiga (3) cabaran besar yang menanti. Di dalam artikel ini, saya akan kongsikan sedikit pengalaman bagaimana saya cuba atasi ketiga-tiga cabaran tersebut.
Cabaran untuk Memulakan
Pertama adalah memulakan. Ramai yang terkandas di sini. Hendak berubah, tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula. Ada yang sudah tahu bagaimana hendak mula, tetapi belum sampai “seru” untuk mulakan. Kesudahnya, rasa mahu berubah itu tadi akan dibiar begitu saja.
Saya pun pernah lalui perkara yang sama, bukan sekali malah berkali-kali dalam tempoh sepanjang kehidupan saya. Namun kebelakangan ini saya dapati ada acara mudah untuk atasi cabaran memulakan ini – jangan terima alasan. Kita mungkin cuba “pujuk” diri dengan memberikan pelbagai alasan seperti tidak cukup persediaan, belum difahami sepenuhnya, tidak ada itu tidak ada ini – Jangan terima semua alasan ini! Bangun dan bergerak. Cuba dan belajar untuk perbaiki sambil melakukannya. InsyaAllah, ada akan dapati ada hasil positif.
Cabaran untuk Mengekalkan Momentum
Bagi yang sudah mula, cabaran besar yang seterusnya ialah mengekalkan momentum. Cabaran mencapai konsistensi ini memang satu peperangan minda yang nampaknya tidak berkesudahan. Bagi yang kurang ketabahan, sebarang bentuk gangguan akan dijadikan alasan untuk berhenti.
Ini kerap berlaku apabila kita banyak meletakkan kebergantungan kepada persekitaran. Saya dapati salah satu cara untuk kekalkan momentum adalah dengan menjadikannya “mudah untuk dibuat setiap hari”. Ya, lain orang dan lain perubahan mungkin tidak sama, namun apa yang penting adalah jangan berikan ruang untuk ada jurang masa yang lama antara aktiviti yang menyumbang kepada perubahan yang hendak dicapai.
Semasa saya mulakan usaha untuk menjadi lebih sihat dan cergas, saya telah memilih untuk brisk walking di taman rekreasi berdekatan. Pada tiga (3) bulan pertama, saya tetapkan untuk lakukan brisk walking setiap pagi – tidak kira hujan atau panas, hari cuti atau tidak, saya tetap ke taman dan berjalan sekurang-kurangnya 45 minit. Dalam tempoh beberapa minggu, alhamdulillah saya mula melihat hasil positif. Kemudian, bagi mengelakkan jemu dengan rutin itu, saya mula variasikan elemen-elemen dalam sesi brisk walking tersebut. Saya tukar laluan, saya tukar tempoh masa dan ada kalanya saya tukar lokasi ke taman yang berlainan pula.
Cabaran Hasil yang Mendatar
Cabaran besar yang ketiga dan paling cepat membuat orang putus harap ialah apabila hasil mula mendatar. Kebiasaannya kita bersemangat selagi nampak progres dan hasil yang positif, tetapi apabila prestasi mula plateau, semangat mula hilang dan rasa sangsi mula menyerap masuk ke minda. Jika dibiarkan, kita bukan saja mungkin berhenti, malah dalam kes ekstrem, menjadikan kita “musuh” kepada idea asal itu tadi kerana terlalu kecewa seolah-olah apa yang telah diusahakan hanyalah satu bentuk “penipuan” disebabkan progres hasil tidak berpanjangan.
Ini sebenarnya lebih kepada pengurusan harapan (expectations) kita terhadap hasil perubahan. Ramai saya lihat menjadi pudar semangat kerana terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada apa yang mampu dicapai.
Mungkin atas faktor kurang pendedahan kepada hasil-hasil kajian ataupun mungkin penetapan matlamat pada fasa awal yang agak tidak realistik telah membuatkan kita terlalu berharap. Saya sendiri pernah rasa kecewa terhadap prestasi saya yang mendatar. Pada fasa awal saya mulakan rutin brisk walking, memang penurunan berat badan agak baik. Tetapi setelah satu-satu tempoh, saya dapati berat badan tidak lagi menurun. Saya cuba selidik dengan membaca rujukan-rujukan daripada sumber yang boleh dipercayai dan dapati bahawa kebiasaannya penurunan berat badan berlaku cepat di fasa awal disebabkan kehilangan air dalam badan. Selepas air, barulah potensi untuk lemak dibakar, namun begitu bacaan akan mendatar atau sedikit naik kerana pembinaan otot bermula. Nah, sekiranya saya tahu ini dari awal, mungkin saya dapat elakkan dari meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada diri sendiri.
Lain Padang, Lain Belalang
Sebenarnya, ketiga-tiga cabaran besar ini sukar di atasi bukan kerana ia cabaran fizikal, tetapi ia sukar di atasi kerana ketiga-tiganya adalah cabaran mental dan rohani. Kita sukar untuk lawan sesuatu yang bukan jasmani kerana kita tidak dapat nampak, dengar, sentuh, hidu ataupun rasa. Jadi, apabila “musuh” itu adalah mood, kebosanan dan penetapan minda kita sendiri, ia memang tidak mudah.
Apa yang boleh saya katakan adalah latih diri secara berperingkat untuk dapatkan ilmu pengetahuan yang betul, fokus kepada aktiviti yang betul dan memilih tindakan yang berasas. Kaji persekitaran dan cuba terapkan strategi untuk wujudkan sistem yang menyokong pencapaian matlamat perubahan tersebut. Sesekali, cabar diri untuk stretch lebih sedikit dari had keupayaan diri.
Alhamdulillah, berbekalkan penetapan minda penambahbaikan yang berpanjangan (continual, not continuos improvement), selepas 10 bulan memulakan brisk walking pada 3 Januari 2018, saya berjaya menghabiskan larian separuh maraton pertama dalam tempoh masa 2 jam 52 minit disamping berat badan turun sebanyak 10 kilogram.
Mulakan, jadikannya rutin harian dan jangan cepat putus ada. Semoga kita semua beroleh kejayaan dipenghujungnya InsyaAllah.
The Path Of Leadership
Step-Up Leadership

Ahmad Fauzan Othman is the Lead Trainer for HRDF Train-the-Trainer certification course and has trained various level of employees from the private and public sector. Fauzan has been actively sharing content online since 2015 and has conducted numerous webinars which have had viewers from across the globe including Poland, India and South-East Asia. Follow him on LinkedIn.
