Dalam mengendalikan perusahaan atau perniagaan kita, perlukah ada kemahiran untuk menulis surat hasrat secara rasmi? Ini suatu kemahiran penting; mengutus surat minat atau surat hasrat kepada bakal pelanggan sama ada pelanggan di sektor awam mahu pun swasta. Nabi Muhammad SAW juga mengutus surat penting kepada ketua-ketua kerajaan di zaman itu demi menyeru kepada Tuhan Yang Satu. Kerja mengutus surat ini rupa-rupanya aktiviti sejak zaman-berzaman.
Bahkan, Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 iaitu Tun Dr Mahathir juga kerap mengutus surat-surat penting kepada HOG, ‘Head of Governments’ menyatakan pendirian, pandangan, sokongan bahkan teguran kepada ketua-ketuanegara di dunia.
Penguasaan bahasa yang baik adalah penting. Pelanggan akan ‘membaca’ si penulis dengan bahasa yang digunakan di dalam surat mahupun pesanan teks yang dihantar. Bezanya, ayat sempurna berbanding ayat dengan bahasa ‘kontot’ atau tidak sempurna sahaja.
Tidak kira apa jua produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan, lazimilah dan perelokkanlah gaya bahasa yang digunakan baik di dalam surat rasmi seperti surat hasrat mahupun di dalam pesanan teks. Ia lebih penting bila mana surat itu adalah surat perniagaan demi masa depan.