
Melalui pindaan Akta PSMB 2001 yang berkuatkuasa 1 Mac 2021, pasaran latihan di bawah liputan HRDF telah berkembang berlipat kali ganda. Seramai lebih 8 juta pekerja dari semua sektor kecuali penjawat awam akan dapat menikmati peluang menghadiri latihan yang mana majikan mereka boleh menuntut semula perbelanjaan latihan tersebut daripada tabungan levi HRDF. Ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada para trainers di Malaysia untuk aktif dalam “pasaran HRDF”.
Secara peribadi, saya merasakan ini adalah tempoh masa paling sesuai untuk mereka yang berminat menjadi trainer di Malaysia untuk memulakan langkah mencaburi bidang latihan secara lebih serious.
Pilihan Kerjaya Sebagai Trainer
Kerjaya sebagai trainer dalam industri latihan di Malaysia ada pelbagai bentuk. Seorang trainer, tanpa mengira topik pengkhususan boleh dibahagi kepada tiga (3) kategori.
1. Trainer bermajikan (Employed Trainer)
2. Trainer bebas (Freelance Trainer)
3. Trainer bersyarikat sendiri (Business Owner Trainer)
Sebelum timbul pertikaian tentang nama yang saya berikan di atas, izinkan saya huraikan perbezaan asasnya.
“Trainer bermajikan” adalah seorang yang diambil bekerja dalam satu organisasi sebagai pekerja yang ditugaskan melatih orang lain (boleh jadi pekerja syarikat itu juga, atau orang luar atas nama syarikat itu). Mereka biasanya memegang jawatan trainer disamping mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lain. Untungnya menjadi trainer bermajikan ialah, disamping bergaji tetap dan mempunyai “employee benefits”, perbelanjaan mengatur urus latihan ditanggung oleh syarikat. Ada juga yang mempunyai kakitangan sokongan yang akan membantu dalam kerja-kerja balik tabir persediaan menjalankan latihan.
“Freelance Trainer” adalah seorang trainer yang tidak mempunyai sebarang ikatan “employment” dengan mana-mana syarikat penyedia khidmat latihan (Training Provider). Mereka bebas memilih untuk terima mana-mana job yang ditawarkan oleh syarikat penyedia khidmat latihan yang mempunyai model bisnes yang menggunakan khidmat “associate trainer” (beroperasi dengan tidak mengambil pekerja tetap untuk jawatan trainer). Freelance Trainer tidak mempunyai gaji tetap dan “employee benefits”, oleh itu kelangsungan hidup hanyalah bergantung kepada jumlah job yang mampu dilakukan.
Bergantung kepada strategi trainer itu sendiri, mereka boleh menawarkan khidmat latihan mereka kepada seberapa banyak syarikat penyedia khidmat latihan (TP) yang mereka mahu dan menentukan sendiri “trainer fee” (upah) yang bakal mereka terima (tertakluk kepada persetujuan TP). Untungnya menjadi Freelance Trainer ialah kebebasan menentukan jumlah hari bekerja – mahu banyak, padatkan jadual; mahu rehat, tolak job yang dapat. Cuma, ada TP yang hanya akan membiayai sebahagian daripada perbelanjaan latihan – nota dan alat tulis TP sediakan, alat-alat untuk aktiviti seperti “experiential learning games” dan sebagainya atas tanggungan trainer sendiri.
Trainer bersyarikat sendiri pula, hampir sama dengan Freelance Trainer tadi cuma sekarang, trainer juga harus menanggung kos operasi syarikat. Sebagai pemilik syarikat, skill set (kelompok kemahiran) tambahan yang trainer tadi perlu ada ialah pengurusan bisnes. Untungnya ialah, kesemua training fee (yuran latihan) adalah hak syarikat sendiri berbanding trainer fee semasa menjadi freelance tadi. Bergantung kepada diri sendiri untuk menguruskan kewangan agar “profit margin” berbaloi dan perbelanjaan (overheads) tertampung. Cuma, trainer juga perlu berusaha memastikan program latihan dijual dan ini mungkin memakan masa trainer itu sendiri – tidak dapat “close sales”, tiada training; tiada pendapatan, tidak boleh tampung “overheads”; mahu buat lebih, perlu ada pekerja; tambah pekerja, “overheads” naik. Begitulah paradoks model bisnes trainer bersyarikat sendiri.
Jadi, dengan memahami tiga (3) kategori trainer di atas, bolehlah mulakan dengan menilai kekuatan dan kelemahan diri, serta tinjau peluang dan risiko yang ada (dicadangkan menjalankan analisa SWOT). Mudah-mudahan ketemu jawapan yang mana yang serasi dengan diri sendiri tanpa perlu membanding-bandingkan untung nasib orang lain.
Selain Sijil, Perlu Ada Strategi
Sehingga tahun 2020, ada lebih daripada 30,000 trainers yang telah mendapat persijilan HRDF. Namun begitu, dikhabarkan hanyak sekitar 8,000 trainers sahaja yang bergiat aktif. Ini bermakna secara nisbahnya, hanya terdapat 1 trainer aktif bagi setiap 1,000 pekerja. Memandangkan HRDF menghadkan 1 sesi latihan “soft skill” secara maksima kepada nisbah 35 peserta bagi seorang trainer dibernarkan, ini bererti peluang untuk para trainers masih meluas. Cuma, trainers perlu sedar bahawa syarat untuk boleh bergiat dalam pasaran HRDF adalah trainer tersebut perlu ada sijil HRDF – sama ada mendapat pengecualian atau dengan menghadiri kursus persijilan HRDF Train-The-Trainer.
Sebenarnya, hanya memiliki sijil tidaklah menjamin kejayaan sebagai trainer dalam pasaran HRDF. Trainers perlu ada strategi tersendiri – baik dari segi pemasaran, mahupun modus operandi.
Kira Tapi Jangan Berkira
Buku, kereta dan khidmat profesional. Tiga (3) ini, janganlah berkira sangat jika mahu menjadi Freelance Trainer yang berjaya.
Ya, memang duit sering jadi kekangan utama seorang Freelance Trainer sepenuh masa. Namun, dalam kita mengikat perut untuk hidup jimat cermat, jangan kedekut untuk buku, kereta dan khidmat profesional.
• Buku
Buku adalah nadi training. Beli buku yang “original” agar ilmu yang disampaikan juga “original”. Jangan pinjam buku orang lain tetapi malas hendak pulangkan balik. Jangan “photocopy” melainkan buku itu sudah tiada dalam pasaran (not in circulation). Beli sebagai tanda sokongan kepada usaha keras orang lain. InsyaAllah ada berkatnya.
• Kereta
Bukan untuk bermewah tetapi keperluan. Tidak perlu Honda, ada Perodua pun cukup, janji boleh sampai ke tempat latihan dan tempat temujanji – bonus kalau alat pendingin hawa kereta berfungsi. Dengan adanya kenderaan sendiri, kita tidak akan menyusahkan orang lain untuk menguruskan perjalanan kita. Jangan benarkan hal hal seperti ini jadi gangguan kepada tenaga dan pola minda kita jika kita asyik
hadkan pergerakan kita kerana tidak mahu keluar duit untuk isi minyak, bayar tol dan bayar parking – semua ini patut termasuk dalam kos operasi bisnes kita sebagai Freelance Trainer.
• Khidmat profesional
Kita mahu dibayar secara profesional, maka kita juga jangan culas bayar untuk khidmat profesional orang lain. Designer, jurufoto, penterjemah walaupun mungkin nampak seperti kita boleh jimat dengan membuat sendiri, tiba masanya kita perlu guna kepakaran orang lain untuk mendapatkan hasil yang lebih berkualiti. Lagipun, kita akan dapat wujudkan “business ecosystem” dengan saling berkongsi rezeki.
Bermain dengan Nombor
Seterusnya, mari kita fahamkan dahulu aspek “nombor” bagi seorang freelance trainer.
Bagi trainer yang baru dan belum dikenali dalam industri, harga pasaran “trainer fee” (upah) adalah antara RM800 – RM1200 sehari (minimum 7 jam). Ini bagi yang ada sijil HRDF-TTT. Jika tiada, atau hanya ada sijil TTT yang lain, saya kurang pasti.
Ya, akan ada yang menawarkan upah yang lebih tinggi, dan akan ada yang mahu bayar dengan kadar yang lebih rendah. Sendiri nilaikanlah harga tersebut sama ada berbaloi dengan kepayahan tugas dan kemampuan diri menjamin kualiti atau hasil.
Bagi tujuan mudah kira-kira, kita ambil purata RM1000 sehari.
Jika komitmen dan perbelanjaan bulanan seperti kereta, rumah, bil telefon, barang dapur dan sebagainya mencecah RM4000, ini bermakna kita perlu nampak jumlah hari training wajib ialah minima 4 hari sebulan.
Jangan kira undangan slot bercakap sejam atau dua jam, kerana kiraannya, walaupun slot 2 jam, kita sebenarnya telah kehilangan potensi kerja sehari – hanya “full day training” sahaja dikira RM1000 sehari. Kiraan penuh 4 hari training dengan kita seorang sahaja sebagai trainer, barulah dapat RM4000.
Bagi ini berlaku, kita perlu “jual” program training kita. Kita perlu ada program training yang modulnya lengkap untuk dua (2) hari atau 16 jam penuh. Program training ini perlu lengkap dengan outline, slides, nota dan aktiviti yang bersesuaian.
Jika ini belum lengkap, sila lengkapkan terlebih dahulu – tidak sempurna tidak mengapa, tidak cantik juga tidak mengapa. Yang penting ada. Jangan orang minta, baru kita mahu buat! Ini akan makan masa dan memberi kesan kepada jumlah hari bekerja kita. Sebagai panduan, saya mengambil masa 1.5 kali ganda jumlah hari latihan untuk kerja persediaan sebelum menjalankan sesi latihan.
Daripada kira-kira ini, 4 hari x 1.5 hari persediaan, maka jumlah hari yang kita akan “sibuk training” ialah 6 hari.
Dalam sebulan, client bekerja lebih kurang 20 hari. Ini setelah ditolak cuti hujung minggu, cuti umum dan mesyuarat-mesyuarat di syarikat yang menyebabkan mereka tidak sempat membelek proposal program training kita.
Kita tidak boleh beranggapan bahawa hanya kerana kita kerja tidak berkira masa, kita mahukan klien turut respon tanpa mengira cuti hujung minggu. Klien kita adalah pekerja –
mereka bekerja mengikut waktu kerja. Maka, 20 hari bekerja, tolak hari sibuk training kita, tinggallah 14 hari sebulan.
14 hari inilah “window of opportunity” untuk kita menjual program latihan. Dan dalam pada kita hendak menjual, jangan lupa bahawa bukannya segera – jumpa hari ini, esok program jalan, ini tidak realistik. Kita jual sebulan atau dua bulan ke hadapan.
Dan itu hanya untuk minimum 4 hari berbayar. Jika kita letakkan matlamat RM6000 sebulan, kita hanya ada 11 hari sebulan.
“Tapi bukankah kita menjalankan latihan melalui syarikat penyedia khidmat latihan (TP)? Bukankah mereka yang patut menjual?”
Ya, mereka akan jual kepada klien mereka. Tetapi itu tidak bermakna kita duduk tunggu sahaja. Mereka akan bawa kita untuk “pitch”, untuk “close”, untuk menjawab apa-apa soalan yang klien mereka ada. Kita tidak boleh duduk rumah menunggu panggilan telefon sahaja. Kita kena proaktif. Mudahkan kerja orang, barulah orang beri kita job. Dan jangan lupa, semua ini berlaku sebelum program training berjalan, maka ia adalah “pelaburan” dari pihak kita – model bisnes Freelance Trainer pun perlu ada modal pusingan juga.
Gaya Hidup
Freelance Trainer yang bijak adalah Freelance Trainer yang pandai menjaga gaya hidupnya.
Tidak, saya bukan maksudkan melepak di Starbucks setiap hari untuk buat FB live atau upload IG dengan alasan tempatnya selesa untuk buat kerja. Malah, saya nasihatkan jangan bazirkan wang sebegitu tanpa sebab.
Sebagai contoh, tempat paling baik untuk bertemu klien ialah dalam waktu bekerja, di premis klien itu sendiri.
Kenapa?
Pertama, sebab kita memakai pakaian kerja – nampak kemas dan profesional. Tidak perlu “full long suit”, cukup sekadar kemeja lengan panjang dan tali leher. Tak susah untuk berikan “good impression” dengan berpakaian formal kerja seperti ini.
Kedua, membiasakan diri dengan tempat kerja klien. Pergi dengan bersikap “observant”. Perhatikan persekitaran kerja mereka, baca poster-poster pada dinding pejabat mereka, kenal pasti pengaruh semua ini kepada cara kerja mereka. Ini pembelajaran percuma untuk kita agar kenal tahap profesionalisma kerja mereka.
Ketiga, jimat daripada berbelanja tidak tentu hala. Jika mesyuarat di luar waktu kerja, pasti tempatnya adalah tempat makan. Tidak semena-mena, keluar duit lebih untuk memesan sekurang-kurangnya minuman. Jika ke premis klien, memang kena keluar duit minyak, tetapi ia jauh lebih baik daripada naik tren untuk berjumpa di tempat awan seperti pusat membeli belah yang akhirnya membawa kepada aktiviti melilau “window shopping” selepas itu.
Keempat, mewujudkan disiplin. Jika kita mahu berurusan secara beretika, jumpalah dalam waktu kerja di premis klien. Ia mengurangkan ruang untuk urusan “hanky-panky” seperti minta komisyen, minta belanja dan sebagainya.
Kelima, apabila kita ke premis client, kita ada “power of choice”. Jika kita tidak mahu job itu, atas apa juga alasan, kita boleh bangun dan beredar. Ini lebih mudah daripada memohon untuk orang beredar daripada tempat kita sendiri.
Ada banyak lagi contoh lain mengenai gaya hidup ini. Yang penting ialah pilihan – kena bijak ukur baju pada badan sendiri.
Disiplin
Reputasi adalah nyawa bagi seorang Freelance Trainer.
Mahu jaga nyawa, perlu pandai elak risiko perkara yang merbahaya. Mahu jaga reputasi, perlu pandai urus diri!
Walaupun nampak “cool” bekerja sehingga lewat malam, bersengkang mata hingga pagi dan korbankan masa dengan keluarga untuk kerja, jangan lupa bahawa “trainer yang sakit ialah trainer yang tidak berguna”.
Disiplinkan diri dan masa dengan lima (5) tips berikut:
1) Tidur awal, bangun awal – walaupun hari cuti. Ini membantu kita mengekalkan momentum harian berbanding mereka yang tidur dan bangun lewat hujung minggu dan “Monday blues” pada awal minggu.
2) Janji hari ini, berikan hari ini. Belajar “estimate” masa dengan lebih baik – terutama sekali apabila berjanji untuk berikan proposal atau outline kepada klien. Jangan janji hari ini, namun selepas itu buat-buat terlupa dengan alasan sibuk dengan hal lain.
3) Kerja “solid” 4 – 6 jam sehari. Disiplinkan diri untuk bekerja pada waktu khusus (termasuk waktu rehat dan makan) bukan ikut “mood” atau ikut sempat. Didik persekitaran (termasuk ahli keluarga) untuk tidak mengganggu dalam tempoh ini jika bekerja depan komputer di rumah.
4) “Work hard, play hard”. Apabila sedang bekerja, fokus. Apabila sedang beriadah dengan keluarga, fokus juga! Jangan bazir masa berfikir tentang keluarga sewaktu bekerja dan berfikir tentang kerja sewaktu bersama dengan keluarga.
5) Utamakan aktiviti duit masuk banding duit keluar. Maksudnya di sini, jangan buang masa seperti lepak mamak tengok bola atau mengeteh borak angan-angan kosong. Utamakan aktiviti yang boleh bantu datangkan pendapatan atau meningkatkan nilai diri seperti membaca, menghadiri majlis ilmu dan sesi networking. Aktiviti senaman juga sebenarnya membantu “duit masuk” kerana ia menyumbang kepada kecergasan badan disamping mencegah sakit.
Lima (5) tips ini adalah beberapa amalan saya sendiri selama ini. Alhamdulillah, ia berhasil untuk saya. Semoga ia membawa manfaat juga kepada yang cuba mengamalkannya.
Networking Berstruktur
Tidak dinafikan networking itu penting bagi seorang “freelancer”, lebih-lebih lagi Freelance Trainer sepenuh masa.
Saya sendiri pernah terlibat secara aktif dengan kumpulan “business networking”. Cuma, di sini saya mahu kongsikan tips agar sebagai Freelance Trainer, kita tidak buang masa dengan kumpulan networking yang tidak menyumbang kepada matlamat dan bisnes kita.
Pertama, faham definisi “networking”
Networking bukan sekadar masuk WhatsApp group atau Telegram atau Private Group FB.
Networking adalah komitmen untuk berkenalan dan membina hubungan baik bagi mewujudkan kepercayaan. Bukan masuk dan post iklan setiap 5 minit – orang tidak suka.
Kedua, fahamkan cara bernetworking
“Networking is a contact sports”. Maka, perlu ada “sentuhan” – perlu berjumpa secara bersemuka untuk kenal, berbual, mendengar dan cuba memahami sebelum difahami. Jangan “spam” orang dengan cerita kehebatan diri saja – orang akan cepat rasa bosan.
Ketiga, kaji platform networking
Terdapat dua (2) jenis networking. Satu, mengembangkan jaringan kenalan dalam bidang yang sama. Atau, mengembangkan jaringan kenalan dalam bidang yang berbeza. Kita cari network yang mana? Jika trainer itu mahu kenal lebih ramai trainer, carilah network dalam organisasi seperti persatuan trainer seperti MBTA, MAPTaC ataupun TAMRIN. Jika trainer itu mahu kembangkan kenalan kepada mereka yang berlainan industri, boleh sertai BNI, Rootwarmers ataupun dengan menghadiri kursus anjuran INSKEN mahupun program PERDASAMA. Dan semasa di sana, hormat tuan rumah dan aturcara mereka. Jangan pergi platform networking dan berkelakuan sesuka hati – orang akan pandang serong.
Keempat, kaji kumpulan network tersebut
Terdapat banyak kumpulan yang berselindung disebalik nama “business networking” tetapi pada hakikatnya tidak aktif menggerakkannya. Sebelum menyertai mana-mana kumpulan, buatlah “background research” – apa visi, misi, halatuju, budaya, siapa barisan kepimpinan,
bagaimana mereka jalankan operasi dan sebagainya. Pastikan matlamat kita sendiri jelas, dan carilah kumpulan yang sesuai. Jangan hanya ikut-ikut masuk tetapi tidak tahu hujung pangkal – orang akan anggap kita tiada pendirian.
Kelima, bersungguh-sungguh apabila networking
Apabila menyertai mana-mana network, pastikan komited dengan acara kumpulan network tersebut. Tunjukkan sikap positif dan proaktif. Apabila orang nampak kita, orang ingat kita. Jangan hanya melukut di tepi gantang. Orang mahu ahli yang menyumbang, bukan kera sumbang yang hanya harapkan bisnes datang bergolek – orang akan anggap kita tiada nilai tambah.
Kesimpulannya, networking sememangnya boleh meningkatkan social capital (modal sosial) dan nilai seorang Freelance Trainer. Namun, seperti modal lain, ia juga satu bentuk pelaburan. Jangan bernetwork untuk untung jangka masa pendek saja – tiada siapa suka berkawan dengan seorang yang “opportunist”.
Cabaran Freelance Trainer
Setiap kelebihan, pasti datang dengan kekurangan.
Seorang Freelance Trainer memang beruntung kerana mempunyai kos “overhead” operasi yang rendah. Namun, salah satu cabaran utama bagi seorang Freelance Trainer, adalah ketiadaan team atau pasukan sokongan.
Team sangat diperlukan semasa hendak lakukan sesi percubaan seperti “dry run presentation”, “trial run learning activities” dan “test run assessment tools”. Lebih-lebih lagi untuk training topik baru, agak susah untuk dapatkan “test audience”.
Dengan adanya team untuk tujuan ini, seorang trainer itu boleh melihat reaksi, mengukur masa dan menjangkakan “outcome” yang bakal berlaku. Berlatih secara “visualisation” dan depan cermin sahaja ada hadnya dan bagi sesetengah perkara, memang tidak cukup.
Saya sendiri pernah menjadi Freelance Trainer sepenuh masa dari tahun 2011 sehingga 2015. Memang sukar apabila tiada team sokongan, kerana sudah biasa ada rakan sekerja sebelum itu. Tetapi, saya bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sanggup luangkan masa
pada hujung minggu untuk membantu saya menjalankan sesi team building. Biasanya kami pergi ke lokasi training awal dan jika sempat, uji games pada malam atau awal pagi sebelum peserta sampai.
Kesimpulannya, trainer yang mahu meningkatkan prestasi dalam menjalankan program latihan perlu berlatih dengan “live audience” – ini pentingnya ada team, maka bergeraklah dengan matlamat ini. Untuk jangka masa pendek, bolehlah minta ihsan kawan atau jalankan “preview” percuma untuk prospek.
Risiko Fulltime Freelance Trainer
Apa maksud jadi Trainer Freelance sepenuh masa?
Menjadi Fulltime Freelance Trainer, adalah kaedah paling mudah dan paling common bagi seseorang yang ingin memulakan langkah dalam bidang latihan. Atas nama “kerjasama”, “leverage” dan “collaboration”, trainer boleh menawarkan khidmatnya kepada syarikat penyedia khidmat latihan (TP) untuk peluang mendapatkan job training. Rasa lebih bebas kerana tiada komitmen sebagai pekerja, dan hanya berhubung secara “on job basis” sahaja.
Memang bunyinya seronok, tetapi ada tiga (3) kesalahan yang saya sendiri pun pernah buat dahulu kerana tidak cukup bimbingan semasa mula-mula menjadi Fulltime Freelance Trainer dulu.
Pertama sekali, saya tidak bekerja dengan mana-mana TP secara ekslusif. Maka job datang tidak menentu, jadi duit yang masuk digunakan sepenuhnya untuk kelangsungan hidup.
Risiko pada waktu ini ialah dengan tiada caruman KWSP, PERKESO dan tiada “medical benefit” – saya tidak ada “tabung kecemasan”.
Kedua, saya tidak membahagi-bahagikan topik latihan yang saya boleh kendalikan kepada mana-mana TP khusus – semua TP dapat outline yang sama.
Risiko di sini ialah TP jual ikut senang. Kadang-kadang berpuluh outline diberi, sudahnya TP minta yang baru juga – perlu “customized” setiap kali ada permintaan.
Ketiga, saya tidak utamakan masa, asal dapat job, saya bersetuju.
Risiko di sini ialah jadual saya ditentukan oleh orang lain. Awal bulan nampak jadual penuh, tiba pertengahan bulan, program itu dibatalkan, program ini tunda, sudahnya akhir bulan kosong dan pendapatan jadi tidak mencukupi.
Tiga (3) kesalahan ini membawa risiko yang sangat besar sebenarnya. Alhamdulillah pada waktu itu, tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
Sebenarnya, ada strategi yang betul untuk jadi Fulltime Freelance Trainer, dan saya telah ketemu formulanya beberapa tahun kemudian. Cuma sekarang saya lebih selesa dengan model bisnes saya dan tidak lagi menjadi Fulltime Freelance Trainer. InsyaAllah, saya akan terus berkongsi pengalaman dan tips dari semasa ke semasa sebagai rujukan trainers baru di luar sana.
Kepada yang mungkin mahu dapatkan bimbingan secara langsung, InsyaAllah kita boleh berjumpa dalam kursus persijilan HRDF Train-The-Trainer atau mana-mana program berkaitan Trainers Development yang dikendalikan.

Ahmad Fauzan Othman is the Lead Trainer for HRDF Train-the-Trainer certification course and has trained various level of employees from the private and public sector. Fauzan has been actively sharing content online since 2015 and has conducted numerous webinars which have had viewers from across the globe including Poland, India and South-East Asia. Follow him on LinkedIn.
